TAJUK :
MEMBUAT PILIHAN (KHIYAR) DALAM JUAL BELI
SUBJEK :
FIQH MUAMALAT

Takrif Khiyar
              Pilihan untuk meneruskan atau membatalkan kontrak yang telah dipersetujui diberikan oleh syarak kepada pihak yang menjalankan kontrak jual beli.
Khiyar Majlis
  Kedua-dua pihak berhak menarik balik kontrak jual beli tersebut walaupun kontrak tersebut telah dipersetujui dan disahkan. Dengan syarat ianya dilakukan di majlis yang sama dan secara fizikalnya,mereka masih belum berpisah.
  Jika mereka telah berpisah daripada majlis jual beli tersebut khiyar ini tidak dibenarkan dan kontrak tersebut perlu dilaksanakan. Apa yang dimaksudkan dengan berpisah boleh dirujuk kepada amalan yang digunapakai (uruf).
  Bagi kontrak yang dimeterai di dalam sebuah rumah yang besar,sekiranya salah satu pihak keluar dari bilik ke halaman rumah atau sebaliknya, mereka dianggap telah berpisah.
  Jika mereka berada dalam sebuah rumah yang kecil , perpisahan dianggap berlaku apabila salah satu pihak keluar dari rumah tersebut.
  Jika mereka berada di pasar atau kawasan lapang atau di atas kapal atau sebagainya, perpisahan dianggap berlaku apabila salah satu pihak berpusing kebelakang dan melangkah beberapa tapak.
  Sekiranya mereka berdua keluar bersama –sama atau berjalan bersama-sama, majlis tersebut masih berterusan dan mereka masih berhak menuntut khiyar.

Dalilnya:
Sabda Rasulullah s.a.w “Dua pihak yang berjual beli boleh membuat pilihan selagi mereka tidak berpisah dan sebelum itu mereka bertemu, atau salah seorang di antara mereka memberi pilihan kepada seorang lagi” (Riwayat al-Bukhari, Muslim)

KHIYAR SYARAT
              Khiyar syarat berlaku apabila salah satu pihak atau kedua-dua pihak menetapkan syarat dia mempunyai hak khiyar iaitu hak untuk membatalkan kontrak dalam tempoh tertentu . Syarat ini boleh dinyatakan ketika memeterai kontrak ataupun selepas daripada itu, tetapi mestilah sebelum mereka berpisah dari majlis tersebut. Khiyar ini dinamakan khiyar syarat kerana pihak yang terlibat meletakkan syarat yang tertentu.

Syarat-syarat Khiyar Syarat
  Mestilah terhad kepada tempoh tertentu. Jika mereka berkata : saya berhak menuntut khiyar, tanpa dihadkan pada tempoh tertentu, khiyartersebut tidak sah.
  Tempoh yang ditetapkan tidak boleh melebihi tiga hari jika barangan tersebut tidak mudah rosak dalam tempoh tersebut. Biasanya, masa untuk berfikir tidak perlu melebihi tempoh tersebut. Jual beli tersebut dianggap terbatal jika melebihi tempoh tersebut walaupun sesaat. Begitu juga jual beli akan terbatal, jika barangan tersebut akan rosak dalam tempoh yang ditetapkan walaupun tempoh tersebut tidak sampai tiga hari.
  Tempoh mestilah berturutan dan bersambung dengan kontrak. Jika disyaratkan khiyar tersebut bermula selepasmereka berpisah atau ditetapkan pada hari-hari tertentu yang tidak berturutan atau tempoh khiyar tidak bermula sebaik sahaja kontrak dimeterai, jual beli tersebut tidak sah dan kontrak tersebut terbatal. Sebabnya mereka meletakkan syarat yang tidak sesuai dan tidak diterima oleh syarak.

Dalilnya:
Hadis Hibban bi Munqiz r.a :
Suatu ketika dia mengadu kepada Rasulullah s.a.w. bahawa dia telah ditipu ketika jual beli. Lantas Nabi s.a.w. bersabda kepadanya : “jika engkau berjual beli katakanlah: Tidak boleh ada penipuan.”

Bilakah Hak Khiyar Dibatalkan?
  Apabila pihak yang mempunyai hak khiyar memilih untuk membatalkan kontrak, maka kontrak tersebut dianggap batal. Contohnya, apabila dia berkata : saya batalkan jual beli ini. Jika sesuatu kontrak jual beli dianggap terlaksana jika hak khiyar terbatal, hak khiyar syarat pula dianggap terbatal dengan sebab-sebab tertentu.


Antaranya, tamat tempoh yang disyaratkan. Setelah tamat tempoh yang ditetapkan dan kontrak tersebut tidak dibatalkan oleh pemegang khiyar , sama ada penjual ataupun pembeli atau kedua-duanya sekali , maka kontrak tersebut dianggap terlaksana dan khiyar tersebut terbatal, tiada siapa lagi selepas itu berhak membatalkan kontrak tersebut.
  Jual beli tersebut diteruskan dan dipersetujui dalam tempoh khiyar. Contohnya, pemegang hak khiyar berkata : saya setuju dengan kontrak ini, atau pun saya bersetuju untuk meneruskan atau memilih untuk menjual atau membelinya.
  Apabila pemegang hak khiyar melakukan sesuatu yang pada kebiasaannya hanya dilakukan oleh seorang pemilik. Perbuatan ini menunjukkan dia bersetuju meneruskan jual beli tersebut dan membatalkan hak khiyarnya. Namun ini hanya berlaku jika pemegang hak khiyar adalah pembeli. Jika tindakan tersebut lahir daripada penjual, tindakan itu menunjukkan kontrak tersebut telah dibatalkan.

Hukum barangan dalam tempoh Khiyar
  Hak milik barangan ( Barangan Jualan) dalam tempoh Khiyar. Jika kedua-dua pihak memegang hak khiyar, hak milik barangan tersebut dibekukan sehingga ada keputusan sama ada kontrak tesebut diteruskan atau dibatalkan. Sekiranya kontrak tersebut dibatalkan, hak milik barangan tersebut kekal sebagai hak milik penjual. 
  Kerosakan Barangan dalam tempoh khiyar. Jika kerosakan berlaku sebelum barangan tersebut diterima oleh pembeli, maksudnya barangan tersebut masih berada di tangan penjual, jual beli tersebut terbatal dan hak khiyar dilucutkan.

KHIYAR AIB
  Pada asasnya, urusan seorang muslim dengan orang lain perlu dijalankan atas landasan saling menjaga hak dan bersih daripada segala unsur penipuan. Penipuan bererti mengambil harta orang lain dengan jalan yang tidak sah. Rasulullah s.a.w. pernah memberikan peringatan yang amat keras kepada umat Islam supaya tidak menipu. Salah satu menipu dalam perniagaan ialah penjual menyembunyikan kecacatan yang ada pada barangan yang dijual walaupun dia mengetahuinya.


Dalilnya:
Hadis Aisyah r.ha :
Sesungguhnya seorang lelaki telah membeli seorang hamba, lalu dia menggunakan khidmat hamba itu. Kemudian dia dapati pada hamba itu suatu kecacatan, lalu dia mengembalikan hamba itu kerana kecacatanya. Namun penjual berkata : “ Di manakah keuntungan hamba saya ini?” Nabi s.a.w. bersabda : “keuntungan menurut tanggungan”.
Syarat dibenarkan khiyar Aib
  Pertama, Dapat dibuktikan kecacatan tersebut sememangnya sedia ada. Maksudnya kecacatan tersebut wujud pada barangan yang dijual sebelum diterima oleh pembeli, tidak kira sama ada kecacatan tersebut berlaku sebelum atau sesudah memeterai kontrak.
  Kedua, Berdasarkan amalan perniagaan, kecacatan tersebut dianggap sebagai kecacatan yang boleh menjejaskan nilai barangan. Tidak kira sama ada kecacatan tersebut menjejaskan fizikal barangan atau pun tidak. Ini kerana, jual beli adalah suatu system pertukaran dan perkara yang diambil kira dalam jual beli ialah nilai barangan.
  Ketiga, Pada kebiasaannya, kecacatan tersebut tidak wujud. Contohnya, seorang pembeli membeli sebuah kereta baru daripada wakil pengedar kemudian mendapati tayar kereta tersebut botak

Bilakah barangan Khiyar Aib boleh dipulangkan?
  Hak memulangkan semula barangan kerana khiyar aib diberikan sebaik sahaja kecacatan tersebut dikenal pasti, namun ia perlu menurut amalan setempat (uruf) yang diguna pakai. Jika kecacatan disedari ketika pembeli sedang makan atau solat, pemulangan boleh dilewatkan sehingga dia selesai. Jika disedari pada waktu malam, dia boleh memulangkannya pada waktu pagi. Jika dia lewat memulangkan barangan tersebut sedangkan dia mampu melakukannya lebih awal, hak khiyarnya digugurkan.

Pertambahan pada barangan yang cacat
Pertambahan pada barangan yang cacat tidak menggugurkan haknya untuk memulangkan semula barangan tersebut tetapi perlu dilihat pada beberapa perkara. Antaranya, jika pertambahan tersebut tidak boleh dipisahkan, pembeli boleh memulangkan semuanya ataupun meneruskan jual beli tersebut. Jika pertambahan tersebut berasingan, pembeli boleh memulangkan barangan tersebut tanpa pertambahannya.Ini kerana pertambahan berlaku dalam tempoh pemilikannya atau dalam tempoh tanggungannya.

  
Kecacatan Tambahan Kepada Kecacatan sedia ada
              Jika berlaku kecacatan baru selain daripada kecacatan sedia ada, hak pembeli untuk memulangkan semula kepada penjual secara paksa digugurkan. Walau bagaimanapun ada beberapa perkara yang perlu dilihat, antaranya ialah, jika penjual bersetuju menerimanya, pembeli boleh memulangkannya. Jika pembeli bersetuju menerima kecacatan tersebut, pembeli boleh menggunakannya terus. Jika kedua-dua pihak tidak bersetuju,pilihan yang ada ialah sama ada pembeli membayar ganti rugi bagi kecacatan baru dan memulangkan semula barangan tersebut kepada penjual atau penjual perlu membayar gantirugi bagi kecacatan sedia ada kepada pembeli.

Syarat Tiada cacat cela
  Jika penjual meletakkan syarat kepada pembeli ketika kontrak, bahawa dia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kecacatan yang ada pada barangan yang dijual, kontrak tersebut sah. Ini kerana syarat tersebut mengukuhkan lagi kontrak dan menafikan hak pembeli untuk memulangkan semula atau membatalkan pembelian
  Jika barangan tersebut tidak bernyawa, syarat tersebut tidak terpakai. Jadi pembeli masih berhak memulangkan semula dan penjual perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kecacatan yang wujud pada barangan tersebut.
  Jika barangan yang dijual tersebut bernyawa, penjual boleh melepaskan sebarang tanggungjawab terhadap sebarang kecacatan yang tidak nyata sahaja pada barangan tersebut pada masa kontrak dan di luar pengetahuannya. Sebabnya, pada kebiasaannya benda yang bernyawa mepunyai kecacatan tidak nyata.
  Jika kecacatan itu kelihatan dengan jelas, penjual tidak berhak melepaskan tanggungjawabnya kerana kecacatan tersebut mudah dilihat. Demikian juga jika kecacatan itu diketahui oleh penjual, penjual bertanggungjawab memberitahu mengenainya. Jika tidak, dia dianggap telah menipu. Demikian juga jika pembeli tidak tahu tetapi kecacatan tersebut kelihatan dengan jelas.
  Penjual juga tidak boleh melepaskan tanggungjawabnya jika kecacatan tersebut berlaku selepas kontrak dimeterai dan barangan tersebut belum diterima oleh pembeli. Ini kerana syarat tersebut hanya merujuk kepada kecacatan yang ada ketika kontrak. Jika penjual meminta pelepasan tanggungjawab daripada kecacatan yang akan berlaku, permintaannya tidak dibenarkan kerana permintaan tersebut dianggap menggugurkan sesuatu yang belum berlaku.


Comments

  1. kk mau tanya ni...
    khiyar pada barang yang bernyawa gmn ya...?
    soalnya kurang begitu paham.....
    mohon bimbingannya

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

IPW (Iventori Personaliti Warna)

PERKEMBANGAN KAUNSELING ISLAM MENURUT IMAM AL-GHAZALI

Proses Kejadian Manusia