Siapakah dia Kaunselor?


 Pengenalan


Kaunselor adalah seorang profesional yang berdaftar dan terlatih dalam bidang kaunseling. lanya boleh juga tergolong dalam bidang lain seperti mereka yang terlatih secara profesional dalam pekerja keagaman, pekerja-pekerja sosial, pakar bimbingan kerjaya ataupun kaunselor psikologi. Kaunselor juga merupakan seorang individu yang memainkan peranan penting dalam mengendalikan perkhidmatan atau sesi kaunseling. Individu tersebut mestilah mempunyai kemahiran-kemahiran asas kaunseling. Peranan kaunselor perlu berlandaskan pengetahuan bimbingan dan kaunseling yang tepat supaya mampu menangani masalah dengan berkesan.


            Mengikut Kamus Dewan (2002), kaunselor didefinisikan sebagai seorang yang layak menjadi pembimbing dan penasihat kepada orang lain yang menghadapi masalah ataupun seseorang yang berkemampuan memberikan khidmat kaunseling. Mengikut Akta Kaunselor (1998), kaunselor ialah seorang yang mengadakan perkhidmatan kaunseling bagi suatu bayaran yang telah ditetapkan ataupun apa-apa balasan yang lain. Menurut Rogers (1977) pula, kaunselor ialah orang yang menarik, suka bersahabat, dan seseorang yang memiliki keyakinan diri serta percaya kepada orang lain. Menurut Blocher (2000) pula, kaunselor adalah penolong kepada klien yang memaksimumkan kebebasannya supaya klien dapat memilih cara, situasi dan persekitaran yang dapat menolong mengembangkan peribadi seseorang.

            Perkhidmatan kaunseling berkesan untuk kesejahteraan sosial dan pembangunan modal insan pelbagai golongan seperti warga emas, kanak-kanak, remaja, keluarga, sekolah dan pekerja. Perkhidmatan kaunseling merupakan keperluan kepada masyarakat dan ia merupakan satu bentuk perkhidmatan (Capuzzi & Gross, 2008). Tujuannya ialah bagi membuat pilihan dan penyesuaian dalam hidupnya. Banyak factor yang menyumbang kepada keperluan perkhidmatan kaunseling oleh seorang kaunselor yang terlatih seperti agenda transformasi Negara, gagasan 1 Malaysia, jenayah dan masalah social, kesan yang lahir akibat dari perkembangan pesat ekonomi, dan sebagainya.


            Kesimpulannya, kaunselor merupakan individu yang bertauliah, professional, berdaftar serta mengamalkan kaunseling bukan sahaja menguasai ilmu dan kemahiran individu dan kelompok, kaunseling perkahwinan dan keluarga, malah memiliki ciri-ciri personaliti serta nilai-nilai tertentu berpandukan Kod Etika yang telah ditetapkan oleh Lembaga Kaunselor Malaysia.


Kelayakan Seorang Kaunselor


Seorang yang ingin menjadi kaunselor haruslah memenuhi syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan. Secara zahirnya, syarat kelayakan yang ditetapkan oleh mana-mana jabatan atau kementerian berkenaan jawatan kaunselor adaah lebih kurang sama. Mereka yang layak mendaftar ialah mereka yang mempunyai status warganegara Malaysia atau seorang bemastautin tetap di Malaysia. Selain itu, mereka haruslah berumur tidak kurang dari dua puluh satu tahu. Mereka juga layak dan sesuai didaftarkan sebagai kaunselor dan memegang mana-mana kelayakan yang dinyatakan dalam Jadual Kedua Akta Kaunselor 1998 (Akta 580).

Kaunselor yang berkelayakan dalam menjalankan sesi kaunseling adalah kaunselor yang berdaftar. Kaunselor berdaftar bermaksud, seorang yang didaftarkan di bawah seksyen 26 atau 27 Akta Kaunselor 1998 (Akta 580). Ini bermakna seorang itu perlu mendapatkan perakuan pendaftaran daripada Lembaga Kaunselor Malaysia yang melayakkannya untuk bergelar kaunselor berdaftar, manakala Kaunselor Berdaftar tersebut perlu mendapatkan Perakuan Amalan untuk mengamal kaunseling (Noraini Ahmad, 1997).


 

Jawatan : Kaunselor
Kod Skim : 1152
Kumpulan : Pengurusan dan Profesional
Kementerian/Jabatan : Pelbagai Kementerin/Jabatan

            Selain itu, kelayakan yang diperlukan untuk menjadi seorang kaunselor terlatih dari segi pendidikan ialah sekurang-kurangnya mereka yang memiliki Ijazah Sarjana Muda atau kelayakan yang setaraf dengannya oleh kerajaan. Selian itu, pendidikan dalam Ijazah Sarjana Muda Kepujian atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.

            Bersesuai dengan perkembangan pesat yang berlaku masyarakat Malaysia, profesion kaunseling memerlukan sebuah kawalan yang diiktiraf dengan akta yang tersendiri. Akta 1998 (Akta 580) memberikan kuasa secara sah ke atas penyelia dalam perkhidmatan kaunselor serta semua aktiviti kaunseling di Malaysia. Justeru, setiap individu dan mana-mana pertubuhan yang menjalankan khidmat kaunseling di Malaysia wajib berdaftar dengan Lembaga Kaunselor. Peraturan ini dikecualikan bagi perkhidmatan yang dijalankan oleh profesional kesihatan seperti ditakrifkan dalam Akta Kaunselor 1998.

Tugas-tugas seorang kaunselor

Seorang kaunselor yang professional mempunyai tugas tertentu dalam memberikan perkhidmatan kepada klien. Kaunselor yang professional selalunya merancang sesuatu tugas yang paling layak dan sesuai dengan keadaan klien. Lazimnya, tugas kaunselor mestilah mengikut keperluan klien. Tugas umum seorang kaunselor ialah mengendalikan sesi sama ada kaunseling individu atau kaunseling kelompok mengikut etika kerahsiaan yang telah ditetapkan. Selain itu, seorang kaunselor memberi khidmat nasihat dari segi pemulihan fizikal, emosi dan pembangunan bagi individu-individu yang menghidap penyakit kronik atau mengalami kemalangan dan orang hilang upaya (Sapora Sipon, 2013).

Selain itu, tugas kaunselor adalah memberi panduan dalam masalah berkaitan keluarga dan perkahwinan serta mengendalikan kes-kes berkaitan sistem dan terapi kekeluargaan. Tambahan pula, seorang kaunselor perlu memberi bimbingan kepada pelajar, ibu bapa dan guru berhubung dengan pelbagai perkara termasuk masalah pelajar, kesulitan pembelajaran dan keperluan asas. Tugas kaunselor juga berbeza mengikut situasi dan perkhidmatan yang diberikan (Sapora Sipon, 2013). Antaranya ialah :

Tugas Kaunselor di sekolah
Tugas yang dijalankan oleh guru bimbingan dan kaunseling adalah berdasarkan jenis perkhidmatan utama program bimbingan dan kaunseling yang dijalankan di sekolah. Dalam pengurusan, terdapat beberapa komponen yang perlu dilaksanakan oleh guru bimbingan. Komponen-komponen itu ialah :

3.1.1        Perancangan
Guru Bimbingan dan kaunseling perlu merancang program bimbingan dan kaunseling untuk sekolahnya teliti dan sempurna.

3.1.2        Pengelolaan
Guru Bimbingan dan kaunseling perlu megadakan prosedur-prosedur pengelolaan program.
3.1.3        Hala arah
Guru bimbingan dan kaunseling mengetuai program yang dijalankannya, membuat keputusan, mengeluarkan garis panduan, meningkatkan motivasi dan kaunseling.

3.1.4        Pengawalan
Guru bimbingan menilai keberkesanan program, mengenal pasti kelemahan dan masalah yang dihadapi dan mengambil tindakan untuk mengatasi.

Guru bimbingan juga perlu menjalankan kerja pentabiran di bilik bimbingan kaunseling, termasuk mengadakan sistem fail, menyimpan rekod, perhubungan awam, surat menyurat, pengelolaan Kelab Bimbingan dan Kerjaya, dan lain-lain (Tang Chee Yee, 1996).


Tugas Kaunselor di Institut Pengajian Tinggi (IPT)

Kaunselor di sektor IPT membuat perkhidmatan kaunseling individu dan kelompok kepada para siswa-siswi yang mempunyai masalah harian dan memerlukan rujukan kaunselor. Selain itu, melaksanakan tugas kaunseling kerjaya kepada para mahasiswa yang bakal menamatkan pengajian mereka agar mereka melihat peluang dan ruang kerjaya pada masa hadapan. Selain itu, kaunselor berperanan sebagai pengendali ujian-ujian psikologi seperti inventori personaliti diri, Inventori personaliti melalui warna, Inventori kerjaya dan sebagainya. Sebagai seorang kaunselor di IPT, mereka haruslah peka dengan keadaan sekeliling termasuklah hal-hal yang berkaitan dengan minat para pelajar. Oleh itu, kaunselor berperanan sebagai memberi jalan kepada pelajar terhadap masa depan mereka (Ea Ah Meng, 1998).

Tugas Kaunselor di Jabatan Kerajaan

Perkhidmatan kaunseling amat diperlukan oleh kebanyakan organisasi termasuk sektor awam dan swasta. Ini bersesuaian dengan dasar kerjaan untuk mempunyai masyarakat penyayang dalam menuju Wawasan 2020. tugas kaunselor di sector ini adalan megadakan sesi bagi penjawat awam yang mempunyai masalah dalam kehidupan harian mereka. Selain itu, kaunselor juga boleh mengadakan seminar, bengkel dan sebagainya. Contohnya, seminar antidadah, seminar keluarga bahagia dan sebagainya. Selain itu, kaunselor juga bertugas sebagai perantara klien dengan pihak ketiga seperti psikiatri, polis dan lain-lain. Justeru, kaunselor mempunyai tugas yang tersendiri mengikut keperluan sesuatu organisasi (Sapora Sipon, 2013).

Justeru, setiap tugasan yang dipikul oleh seseorang yang bernama kaunselor adalah satu tugasan yang berat. Mereka bekerjasama dengan manusia yang pelbagai sifat dan personaliti. Tugas seorang kaunselor meliputi agar dapat membantu setiap individu menjalani kehidupan harian dengan lebih bahagia.


 Kesesuaian diri, minat dan kecenderungan anda untuk menjadi seorang kaunselor


Seorang kaunselor yang baik haruslah mempunyai personaliti yang baik dan mampu bekerjasama dengan manusia lain. Ini kerana, kaunseling merupakan perkhidmatan dua hala atau secara kelompok yang melibatkan satu atau lebih klien yang datang untuk mendapatkan khidmat kaunseling. Bedasarkan kesesuaian diri saya boleh dilihat melalui minat dan kecenderungan yang terdapat didalam personaliti saya.

Kecenderungan saya untuk menjadi seorang kaunselor boleh dilihat pada personaliti saya yang ekstrovert melalui Inventor Personaliti Sidek (IPS) iaitu individu yang mudah bergaul dengan manusia lain (Sidek Mohd Noah, 2005). Saya mudah berinteraksi dengan individu atau kelompok yang baru. Saya lebih selesa dan suka berada disekeliling orang ramai berbanding berada berseorangan atau duduk bersendirian.

Selain itu, pada pandangan saya, seorang kaunselor yang baik memerlukan sifat tolong-menolong dalam diri (Sapora Sipon, 2013). Kecenderungan saya juga lebih pada sifat menolong. Saya mudah memberikan bantuan kepada orang lain yang dalam kesusahan. Sifat ini menunjukkan saya mempunyai keinginan untuk membantu orang lain seperti mencurahkan kasih sayang, memberi bantuan, suka membuat kebaikan dan kebajikan terhadap orang lain.

Saya seorang pendengar yang baik. saya berminat atau suka mendengar permasalahan individu lain. Ini kerana, saya merasakan saya faham akan situasi yang mereka sedang hadapi. Berkemungkinan saya ada kelebihan untuk menyelami perasaan atau pemikiran orang lain. Istilah yang biasa kita dengar ialah empati atau lebih difahami dengan istilah “put yourself in client shoe”.

Untuk menjayakan sesuatu sesi kaunseling, membina hubungan adalah perkara yang agak penting untuk menentukan sama ada sesi itu berjaya atau tidak. Sebagai seorang yang ingin menjadi kaunselor, saya mudah mesra dengan orang lain. Saya boleh menyertai mana-mana kumpulan yang telah saya kenali atau yang baru dikenali. Justeru, personaliti ini memainkan peranan penting bagi memastikan kilen tidah buntu atau takut meneruskan sesi kaunseling. Tambahan lagi, saya merupakan seorang yang boleh memegang kerahsiaan.

Minat merupakan sesuatu yang penting dalam melakukan sesuatu perkara. Menjadi seorang kaunselor adalah merupakan minat saya semenjak dibangku sekolah menengah lagi. Oleh itu, saya berusaha untuk mencapai minat saya dengan melanjutkan pelajaran ke dalam bidang diploma di Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah dalam Diploma Kaunseling Islami. Sekarang, saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaysia Terengganu dan mengambil jurusan Sarjana Muda Kaunseling. Justeru, harapan saya untuk menjadi seorang kaunselor itu tinggi.


Kami bakal-bakal kaunselor (Doakan)


Kemungkinan cabaran dan halangan yang dihadapi


Setiap perkara yang terjadi pasti ada halangan dan cabaran yang menanti. Begitu juga dengan profesion kaunselor. Banyak halangan yang akan terjadi dan mendatang yang perlu ditempuh oleh kaunselor. Cabaran yang dihadapi akan lebih mematangkan karier seseorang kaunselor dan memberi pengalaman yang baru kepada kaunselor terutamanya yang baru menjejakkan kaki ke dalam bidang kaunseling.

Antara cabaran yang harus kaunselor tempuhi ialah menerima klien yang tidak rela dan resistant. Klien tidak rela menganggap datang ke sesi kaunseling sebagai mengaku mempunyai kelemahan. Mereka selalunya tidak akan mudah berinteraksi dan menunjukkan tanda-tanda marah, membuat kekasaran kepada kaunselor atau mungkin akan memprotes dan langsung tidak memberikan kerjasama yang baik kepada kaunselor. Ini menyebabkan kaunselor harus lebih cerdik dan bijak dalam mewujudkan kepercayaan dan empati terhadap klien (Hapsah Yusof, 2013).

Selain itu, cabaran dan halangan yang sering menghantui kaunselor ialah apabila kaunselor sukar untuk membina hubungan mesra atau ‘repo’ yang baik bersama klien. Sesi kaunseling yang berjaya kebanyakannya bermula dengan sesi membina hubungan yang baik. Sewaktu membina hubungan, kaunselor haruslah mendapat kepercayaan daripada klien agar klien tidak berasa terancam atau lahir rasa tidak percaya kepada kaunselor. Sekiranya sesi membima hubungan ini gagal, kaunselor berkemungkinan akan ‘burn out’ dalam sesebuah sesi dan hasilnya, sesi tidak berjalan seperti apa yang diharapkan.

Kaunselor adalah manusia biasa yang kadangkala menghadapi masalah seperti “burn out” dan memerlukan bantuan penyelia yang dapat memainkan peranan sebagai guru yang memberi tunjuk ajar, kaunselor yang mendengar permasalahan peribadi yang dibangkitkan dan yang berperanan sebagai perunding bagi membantu mereka dalam memilih teknik dan strategi keberkesanan kaunseling (Roberts, Etta, Borders & DiAnne, 1994).

Oleh itu, kaunselor haruslah siap sedia menghadapi sebarang cabaran dan halangan yang menimpa. Setiap halangan yang dihadapi adalah satu pengalaman yang akan membawa kaunselor kearah perubahan yang lebih baik pada masa hadapan dan kaunselor akan lebih mudah untuk menanganinya suatu hari nanti.


Sifat yang harus dimiliki oleh seorang kaunselor


Seorang kaunselor haruslah mempunyai sifat yang dianggap penting dalam kerja bimbingan dan kaunseling. Pada umumnya, seorang kaunselor harus mempunyai sifat sabar dan sensitif kepada keperluan orang lain. Sifat-sifat kaunselor yang dianggap penting adalah percaya kepada setiap individu. Percaya kepada klien adalah sesuatu yang penting. Sekiranya kaunselor berasa sangsi terhadap klien, sesi tersebut akan bertukar menjadi sesi yang tidak ada ketulenan.

Menurut Sapora Sipon, 2013, kaunselor haruslah seorang yang cerdik. Kecerdikan yang ada pada kaunselor termasuklah juga seperti kebolehan bertutur dengan fasih dan mempunyai keupayaan kuantitatif yang cukup untuk berfikir, mencari alasan dan membantu menyelesaikan masalah dengan logik dan penuh persepsi. Contohnya, boleh memberikan pelbagai alternatif lain dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang dialami oleh klien.

Selain itu, seorang kaunselor haruslah mempunyai sifat menerima klien tanpa syarat. Kaunselor perlu melayan klien seperti manusia yang bermaruah dan unik walaupun klien datng dalam berbagai-bagai cerita. Secara umumnya penerimaan dengan melakukan penghayatan yang teliti ke atas diri klien sambil mengambil pelbagai aspek positif klien akan membantu melancarkan sesi kunseling. Contohnya, kaunselor yang melayan karenah klien akan memudahkan proses kaunseling dijalankan.

            Sifat yang perlu ada pada kaunselor Muslim menurut Aziz Salleh (1996) ialah benar atau as-siddiq. Sifat ini perlu dimiliki oleh seorang kaunselor yang mempunyai rasa tanggungjawab. Kaunselor perlu berterus terang dan menyatakan dengan benar apa yang telah didengar tanpa menokok tambah atau menguranginya. Benar disini adalah merangkumi kebenaran dari segi niat, tutur kata dan tingkah laku. Sekiranya terdapat percanggahan fakta daripada apa yng telah diceritakan, kaunselor tersebut tidak boleh dipercayai.

            Satu sifat yang membuatkan klien berasa senang dengan kaunselor ialah empati. Empati ialah kebolehan seorang kaunselor menyedari dan memahami perasaan orang lain. Menurut Corey (1997), sifat empati menunjukkan kebolehan kaunselor untuk memasuki ruang rujuk atau dunia klien dan turut membenarkan kaunselor mengalami proses mental dan emosi yang dialami oleh klien. Oleh itu, sifat-sifat yang baik haruslah sentiasa ada didalam diri kaunselor. Ini kerana kejayaan sesuatu sesi kaunseling sebahagian besarnya bergantung kepada sifat, sikap dan tingkah laku kaunselor.


Prinsip yang harus dimiliki oleh seorang kaunselor


Prinsip ialah dasar pemikiran yang digunakan sebagai panduan untuk melakukan sesuatu tindakan. Seorang kaunselor yang profesional mempunyai prinsip tersendiri bagaimana untuk menjalankan sesi kaunseling dengan baik agar sesi kaunseling berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang masalah yang timbul.
            Antara prinsip yang perlu ada pada kaunselor adalah rasa hormat pada klien. Seorang kaunselor perlu menunujukkan rasa hormat kepada klien. Rasa hormat ini penting agar klien merasa senang dan percaya ketika berhadapan dengan kaunselor. Klien akan merasa lebih selesa untuk bercerita permasalahan yang sedang di alaminya kepada kaunselor. Rasa hormat ini boleh dilakukan dengan cara menggunaan ayat yang baik, jarak, pergerakan badan dan sebagainya oleh kaunselor.

            Seterusnya, kaunselor perlu menjaga aib klien dengan cara menjaga etika kerahsiaan. Etika kerahsiaan ini adalah sesuatu yang amat penting dalam sesuatu sesi. Klien akan merasa selamat dan percaya terhadap kaunselor sekiranya kaunselor tidak sewenang-wenangnya menceritakan masalah klien kepada sesiapa melainkan terdapat permasalahan yang memboleh kaunselor untuk bertindak sedemikian. Contohnya, sekiranya permasalahan klien itu akan memyebabkan klien terancam, kaunselor boleh menceritakan kepada pihak yang berkuasa agar klien dalam keadaan selamat.

            Selain itu, kaunselor perlu berpegang kepada prinsip menerima tanpa syarat. Kaunselor perlu menerima klien dan melayan klien sebagai manusia yang bermaruah dan unik walaupun klien datang dalam pelbagai jenis watak dan ragam. Secara umumnya, sesi kaunseling akan berjalan lebih lancar sekiranya kaunselor melihat klien dari aspek positif. Justeru, peneriman tanpa syarat akan membuatkan klien selesa dan tidak ragu-ragu menceritakan masalah kepada kaunselor.

            Seorang kaunselor yang baik haruslah memegang prinsip jujur atau kongruen dalam menjalankan sesi kaunseling. Kaunselor tidak pura-pura dalam perhubungan dengan klien. prinsip ini harus digunakan oleh setiap kaunselor agar kaunselor tidak mengambil kesempatan di dalam kesempitan yang dialami oleh klien (Sapora Sipon, 2013). kaunselor perlu bersifat neutral, spontan dan konsisten. Kaunselor mampu berkongsi aksi dan reaksi dari segi mental dan emosi serta tidak teragak-agak untuk memberi maklum balas kepada klien.




Pengalaman Yang Berkait Dengan Kaunselor Atau Sebarang Sesi Kaunseling Yang Pernah Dilalui


Setiap manusia di dunia ini pasti tidak akan lari dari ditimpa pelbagai masalah dan musibah. Hal ini kerana, setiap manusia dididik dan dibesarkan dalam suasana yang berbeza. Justeru, perlunya seseorang untuk mendengar dan menyelesaikan permasalahan ini. Begitu juga dengan saya, seorang yang bergelar pelajar. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk berjumpa dengan seorang kaunselor yang saya kenali sebagai pemula untuk merasionalkan pemikiran.

            Pada mulaya, saya melihat persekitaran sesi yang balak dijalankan adalah si sekitar kawasan yang selesa, sejuk, dan berbau harum. Persekitaran ini membuatkan saya rasa selesa. Kaunselor memberikan borang maklumat diri untuk di isi. Setelah itu, kaunselor mula menceritakan syarat-syarat yang perlu dipatuhi sepanjang sesi dijalankan.

            Pada permulaan sesi, perwatakan kaunselor yang menyambut baik kehadiran saya sedikit sebanyak dapat menempatkan sedikit rasa kepercayaan saya terhadap kaunselor. Lalu, kaunselor berbual santai dengan bertanyakan beberapa soalan berkenaan pengenalan diri. Kaunselor tersebut seorang yang ramah dan mudah untuk saya berkomunikasi dengannya tanpa rasa gugup ataupun segan silu. Saya pun mula menceritakan permasalahan. Isu yang saya kongsikan adalah berkaitan dengan tekanan disebabkan banyak tugasan yang masih belum diselesaikan.

Pada pertengahan sesi itu, kaunselor memberikan respon yang baik dengan memberikan dorongan minima. Bagi kaunselor tersebut, beliau merasakan permasalahan ini satu yang berat bagi saya. Beliau seperti faham dengan apa yang sedang saya perkatakan. Saya merasa selesa dan tenang untuk bercerita. Ini kerana kaunselor meletakkan dirinya ke dalam masalah yang saya sedang hadapi.

Seterusnya, kaunselor memberi cadangan atau panduan yang bernas kepada saya. Ini kerana, isu tekanan ini biasa dalan kalangan individu yang bernama pelajar. Oleh itu, kaunselor mencadangkan agar saya mengurus masa dengan betul dengan cara membuat jadual dan cuba untuk mengikuti jadual yang saya rancangkan. Saya menerima cadangan itu kerana saya akui, permasalahan itu berbunca daripada diri saya sendiri kerana sering menangguhkan kerja atau tugasan yang diberi. Dalam pemikiran saya, bukan pelajar namanya kalau tidak pernah mengangguhkan kerja.

Sedikit sebanyak perkongsian itu telah merasionalkan pemikiran saya bahawa, untuk mengurangkan tekanan, tugasan yang telah diberikan oleh guru-guru atau pensyarah haruslah dibuat awal dari tarikh yang perlu dihantar. Tindakan ini akan memberi hasil yang positif kepada diri saya. Kaunselor banyak membantu dari segi memberikan maklumatmembuat jadual yang berkesan agar mudah untuk dipatuhi.

Pada hujung sesi, kaunselor membuat kesimpulan bahawa permasalahan saya boleh diselesaikan dengan cara penggunaan masa yang baik. Saya berasa tenang dan lega setelah menjalankan sesi kaunseling. Kaunselor tersebut amatlah membantu dan berkemahiran untuk menjalankan sesi kaunseling dengan baik. Sesi kaunseling di tamatkan dengan jayanya.

Kesimpulan   


Kaunselor yang profesional adalah kaunselor yang sentiasa menjalankan tanggungjawab dengan penuh semangat dan mengikut etika yang telah ditetapkan. Matlamat kaunseling adalah untuk  membantu klien membuat sesuatu perubahan tingkah laku yang membolekan klien menjalani kehidupan yang lebih produktif dan memuaskan. Selain itu, Meningkatkan keupayaan klien memula dan meneruskan perhubungan. Ramai dikalangan klien yang menhadapi masalah semasa berinteraksi dengan orang lain.  Ini berlaku kerana kurangnya klien mempunyai kemahiran komunikasi dan mempunyai imej kendiri yang negatif. Matlamat kaunselor ialah mencari jalan supaya dapat meningkatkan mutu cara  klien berhubung dengan orang lain.


Rujukan

Ibrahim, M. A. (2003). Perlaksanaan Perkhidmatan Bimbingan Dan Kaunseling Di Selokah. Kuala Lumpur: Cerdik Publication.
 Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim, Wan Mohd Fazrul Azdi Wan Razali & Hanit Osman (2011). Kaunseling Dalam Islam Edisi Kedua, Universiti Sains Islam Malaysia, Negeri Sembilan.
Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim. (2003). Perlaksanaan Perkhidmatan Bimbingan Dan Kaunseling Di Sekolah. Kuala Lumpur: Cerdik Publication
Sapora Sipon, Ahmad Jazimin Jusoh & Hapsah Md Yusof.  (2004). Kaunseling individu. Petaling Jaya: Prentice Hal
Sidek Mohd Noah (2005). Pengujian Dan Penilaian Dalam Kaunseling:  Teori dan aplikasi. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia
Tan Chee Yee (1996), Bimbingan Dan Kaunseling Untuk Sekolah Rendah Dan Menengah. Kuala Lumpur: Kumpulan Bdiman Sdn. Bhd.


Comments

Popular posts from this blog

IPW (Iventori Personaliti Warna)

PERKEMBANGAN KAUNSELING ISLAM MENURUT IMAM AL-GHAZALI

CARA KAUNSELING MENANGANI MASALAH PENGANGGURAN